Y.M. Tunku Tan Sri Dato' Shahriman B. Tunku Sulaiman Y.M. Tunku Tan Sri Dato' Shahriman B. Tunku Sulaiman

  Y. M. Tunku Tan Sri Dato’ Shahriman telah dilahirkan di Sri Menanti, Negeri Sembilan pada 1932. Beliau adalah graduan Universiti Malaya, Singapura dalam bidang Sastera. Setelah tamat pengajian dari universiti berkenaan, Tunku Shahriman terus memasuki perkhidmatan M. C. S. atau ‘Malayan Civil Service’ pada tahun 1958 dan ditugaskan sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Perak.

  Pada tahun 1961, Tunku Shahriman telah ditukarkan ke Urus Setia Kabinet di Jabatan Perdana Menteri. Tugas beliau di sini tidak lama kerana khidmat beliau lebih diperlukan di Perak, di mana beliau telah dilantik sebagai Pegawai Daerah Kuala Kangsar pada tahun berkenaan hinggalah ke tahun 1965. Selepas itu, Tunku Shahriman berpindah pula ke Pahang sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang berlanjutan sehingga tahun awal 1971 apabila beliau kemudiannya telah kembali semula ke Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah ‘Implementation Coordination and Development Administration Unit’. Semasa Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara atau DARA ditubuhkan pada tahun 1971, Tunku Shahriman telah dipilih sebagai Pengerusi badan itu yang pertama. Pemilihan ini dibuat berdasarkan kebolehan dan kewibawaan yang telah ditunjukkan oleh beliau sepanjang perkhidmatannya. Tugas dan tanggungjawab ini dipegang oleh beliau sehingga tahun 1977.

  Selain dari itu, Tunku Shahriman juga adalah Pengerusi Kumpulan dan Ketua Eksekutif Perbadanan Nasional Berhad sejak tahun 1974, Pengerusi United Malayan Banking Corporation Berhad dari tahun 1976-1982 dan sekali lagi pada tahun 1986-1989. Tunku Shahriman juga adalah Pengerusi kepada beberapa syarikat, antaranya Malayawata Steel Bhd., Tradewinds (M) Sdn. Bhd, United Malayan Land Bhd dan Pengerusi bersama Goodyear (M) Bhd. Sekarang beliau adalah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS dan Pengerusi kepada PERNAS Group of Companies.

  Tunku Shahriman juga adalah ahli kepada beberapa badan dan institusi iaitu ‘Fellow Member of Institute of Banker Malaysia’, Ahli Majlis Universiti Kebangsaan Malaysia, Associate Member of World Economic Forum, dan ahli kepada Hilton Hotel Owners’ Association.

Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA)
16 September 1997
Arkib Negara Malaysia