Perutusan Ketua Pengarah

Image

Dato' Jaafar Sidek Bin Hj. Abdul Rahman

Ketua Pengarah
Arkib Negara Malaysia


Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Tel: 03 - 6209 0601 / Samb. :1601

Bismillahirrahmannirrahim

Assalamualaikum Warrahmatullah Hiwabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan

Alhamdulillah dengan limpah kurnia-Nya, Arkib Negara Malaysia (ANM) telah berjaya mendepani cabaran sepanjang tahun 2023. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja ANM kerana telah berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang dalam memastikan visi ANM sebagai ‘Peneraju Pengurusan Rekod dan Pentadbiran Arkib yang Inklusif’ dapat dicapai. Saya mengharapkan inspirasi kejayaan dan momentum 2023 dapat diteruskan dengan lebih baik lagi pada tahun 2024.

Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN), ANM memainkan peranan yang besar untuk merealisasikan hasrat Dasar Perpaduan Negara dan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021 – 2030. Peranan ini disokong dengan Pelan Strategik ANM 2021 – 2025 yang seiring dengan agenda perpaduan dan integrasi nasional. Sebahagian daripada iltizam ini telah diterjemah melalui penganjuran pelbagai program berimpak tinggi sepanjang tahun 2023.

Perkembangan teknologi digital yang semakin pesat di Malaysia juga telah memberi ruang dan peluang kepada ANM untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. Penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Tik Tok, X (Twitter), YouTube dan sebagainya memainkan peranan yang penting dalam era kini. Aplikasi-aplikasi seperti ini bukan sahaja digunakan untuk bersosial, malah sebagai medium untuk menyebarluaskan maklumat sejarah negara kepada masyarakat.

Penglibatan ANM selaku ahli aktif dalam organisasi kearkiban antarabangsa dapat dilihat melalui penyertaan didalam beberapa persidangan penting sepanjang tahun 2023. Antara persidangan yang telah dihadiri adalah seperti 27th Southeast Asia-Pacific Audiovisual Archive Association (SEAPAVAA) Conference and General Assembly pada 9 – 14 Mei 2023 di Pattaya, Thailand, 54th International Association of Sound and Audiovisual Archives (IASA) and 4th International Council for Traditional Music (ICTM) Forum pada 10 – 16 September 2023 di Istanbul, Turkiye, International Council on Archives (ICA) Abu Dhabi Congress 2023 pada 7 – 15 Oktober 2023 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dan The 24th Southeast Asia Regional Branch of International Council on Archives (SARBICA) Executive Board Meeting di Bangkok, Thailand pada 19 – 24 November 2023. Selain itu, ANM juga telah menyertai The Hyland’s Annual CommunityLIVE 2023 User Conference pada 2 – 7 Oktober 2023 di Las Vegas, Amerika Syarikat yang berkaitan dengan pelaksanaan aplikasi Digital Document Management System (DDMS). Sehubungan itu, saya mengharapkan pada tahun 2024, ANM dapat meneruskan lagi penglibatan di peringkat antarabangsa ini bagi memastikan ANM mampu bersaing dengan negara maju lain dalam bidang kearkiban.

Demi memastikan ANM terus kekal relevan, saya juga mengharapkan semua warga dapat menghayati kepentingan fungsi arkib sepanjang melaksanakan tugas. Semua warga hendaklah memahami objektif setiap tugasan yang dilaksanakan. Bekerjalah secara berkumpulan dan bukan secara “silo”. Kita perlu peka dengan keadaan sekeliling dan bersedia untuk berubah selari dengan perkembangan semasa. Saya menyeru kepada semua warga agar sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Dengan adanya ilmu, saya percaya ANM akan menjadi sebuah agensi yang disegani di negara ini.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2024 kepada seluruh warga kerja ANM. Saya mengharapkan semua warga ANM dapat meneruskan kecemerlangan ini bagi tahun 2024. Hayatilah kata-kata “jujur ada dalam diri, ikhlas ada dalam hati” agar setiap amanah yang kita laksanakan berasaskan integriti dan moga diiringi dengan keberkatan. Saya yakin ANM akan berjaya mengukir sejarah baharu yang lebih besar pada tahun 2024.

Sekian, terima kasih.

DATO' JAAFAR SIDEK BIN HJ. ABDUL RAHMAN
KETUA PENGARAH
ARKIB NEGARA MALAYSIA
Image