Berita & Pengumuman
ANM Negeri Johor
SEJARAH DAN LATAR BELAKANG
Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor telah ditubuhkan pada 1 Mei 1967. Pada awalnya ia dikenali sebagai Pejabat Arkib Negeri Johor. Sebaik sahaja ditubuhkan jabatan ini ditempatkan di Bangunan Sultan Ibrahim Bukit Timbalan Johor Bahru, Johor. Ia merupakan pejabat Cawangan Arkib Negara yang pertama ditubuhkan di Malaysia. Pada 1 Mei 1972 pejabat dikenali sebagai Jabatan Arkib Negara Malaysia Cawangan Selatan. Pada 1 Januari 1988 namanya telah ditukar menjadi Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor/Melaka. Mulai 15 Julai 2004 jabatan ini sekali lagi bertukar nama dikenali sebagai Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor. Berkuatkuasa pada 1 Februari 2009 Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor dikenali pula dengan nama Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor/ Negeri Sembilan / Melaka. Ini bermakna pejabat Cawangan ini mentadbir tiga buah negeri di selatan Semenanjung Malaysia iaitu Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor/ Negeri Sembilan / Melaka kini menduduki pejabat di bangunan Wisma Persekutuan Jalan Ayer Molek Johor Bahru sejak 14 Mei 1979. Jabatan ini turut mempunyai sebuah pejabat Cawangannya di negeri Melaka yang terletak di bangunan Yayasan Belia Sedunia Ayer Keroh Melaka.
VISI
Peneraju pengurusan rekod dan pentadbiran arkib yang inklusif.
MISI
Memastikan tadbir urus rekod dan arkib yang efisien dan efektif melalui teknologi terkini demi kepentingan negara dan kemakmuran bersama.
OBJEKTIF
- Memantapkan kompetensi dan komitmen pegawai awam dalam bidang pengurusan rekod melalui pematuhan Akta Arkib Negara 2003 [Akta 629] dan perundangan lain yang berkuat kuasa.
- Memelihara dan memulihara bahan arkib yang bernilai kekal untuk rujukan dan kelestarian warisan negara.
- Memperkasa program pengembangan dan advokasi sejarah negara ke arah pengukuhan jati diri warga Malaysia.
FUNGSI
- Memberi khidmat nasihat berkenaan pengurusan rekod yang sistematik, efisien dan ekonomikal kepada pejabat awam negeri/persekutuan di seluruh negeri Johor/Negeri Sembilan/Melaka.
- Mengesan, memperolehi dan menyimpan segala jenis rekod dan dokumen yang mempunyai nilai sejarah dan kebangsaan untuk simpanan kekal di Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor/Negeri Sembilan/Melaka di mana Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor/Negeri Sembilan/Melaka sebagai 'custodian' kepada rekod-rekod yang bernilai arkib daripada pejabat awam negeri/persekutuan di seluruh negeri Johor/Negeri Sembilan/Melaka.
- Memproses rekod-rekod yang dipindahkan oleh pejabat awam negeri/persekutuan di seluruh negeri Johor/Negeri Sembilan/Melaka untuk simpanan kekal di Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor/Negeri Sembilan/Melaka.
- Menjalankan aktiviti-aktiviti pemuliharaan rekod-rekod yang berada di bawah jagaan Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor/Negeri Sembilan/Melaka serta mengawalselia bahan-bahan koleksi sentiasa berada dalam keadaan baik dan sempurna.
- Memberikan khidmat rujukan dan penyelidikan kepada orang awam, pelajar pengajian tinggi serta jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan.
- Menjalankan aktiviti-aktiviti arkib pendidikan, pengembangan dan arkib negarawan di dalam usaha menyebarluas koleksi khazanah warisan negara yang berada dalam simpanan dan jagaan Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor/Negeri Sembilan/Melaka.